Selamat Berpuasa A'syura dan Tasua'

Hari A'syura bermaksud Hari 10 Muharram dimana hari tersebut disunatkan kepada orang Islam berpuasa. 10 Muharram dimuliakan oleh Nabi SAW sehingga sebelum difadhukan puasa di bulan Ramadhan Baginda berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan umatnya berpuasa pada ketika itu. Hukum berpuasa pada hari tersebut juga adalah wajib. 

Tahukah anda asalnya Hari A'syura tersebut. Hari A'syura adalah hari dimana Nabi Allah Musa dan Nabi Allah Harun A'laihimassalam dan pengikutnya (Bani Israel) diselamatkan dari kekejaman firaun dimana pada hari tersebutlah Peristiwa Nabi Musa membelah laut berlaku serta tenggalamnya firaun di dasar Laut Merah. Sebagai memperingati hari tersebut Nabi Musa as memerintahkan umatnya berpuasa sebagai tanda kesyukuran.

Dari Ibnu Abbas ra katanya, Rasulullah SAW ketika telah berhijrah ke Madinah baginda melihat orang-orang Yahudi disana berpuasa pada 10 Muharram. Nabi SAW pun bertanya, "Hari apa ini?" Mereka menjawab, " Hari ini hari yang baik, pada hari ini Allah telah menyelamatkan Bani Israel dari kezaliman Firaun. Maka Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut." Nabi SAW bersabda, "Aku lebih berhak berbanding kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi SAW berpuasa dan memerintahkan umatnya berpuasa pada hari tersebut. Hadis riwayat Bukhari.

Kita sedia maklum Nabi Allah Musa AS merupakan Rasul yang dilantik oleh Allah kepada kaum Bani Israel. Namun begitu agama yang dibawa oleh Baginda adalah agama mentauhidkan Allah iaitu Agama Islam. Nabi Musa tidak menyebarkan Agama Yahudi seperti mana yang dianuti oleh orang-orang Yahudi. Oleh yang demikian Nabi bersabda bahawa baginda lebih berhak untuk melakukan ibadah tersebut berbanding mereka lalu memerintahkan kita semua melakukannya.

Dalam Hadis yang lain Riwayat Ibnu Abbas, Nabi SAW ditanya ketika memerintahkan umatnya berpuasa pada 10 Muharram, Wahai Rasulullah, bukankah ia adalah hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani? Nabi bersabda, "Jika aku masih hidup pada tahun hadapan sungguh aku akan menunaikan puasa pada hari ke 9". Hadis riwayat Muslim, Ibnu Majah, Ahmad, Thabrani dan lain-lain.

Ditambah lagi oleh Imam Muslim, Ibnu Abbas berkata, "Belum sempat tahun hadapan Baginda telah wafat."
"Berpuasalah pada hari A'syura tetapi bezakan dengan Kaum Yahudi iaitu berpuasa pada hari sebelum atau hari selepasnya." Hadis riwayat Ahmad & Ibnu Khuzaimah.

Ulama' bersepakat menggariskan puasa yang disunatkan pada Bulan Muharram ialah:
1. 9, 10, 11 Muharram (lebih afdhal)
2. 9,10 Muharram
3. 10,11 Muharram
4. 10 Muharram sahaja. 

Jadi marilah kita menyahut seruan Nabi SAW untuk berpuasa pada hari-hari yang disebutkan tadi. Itu juga satu tanda yang kita sayang dan cintakan Nabi SAW. 

Selamat berpuasa Tasua' dan A'syura....

Ulasan

Catatan Popular